DUNIA KUCING-KUCING KAMI

Laman web ini dicipta untuk menyatakan rasa sayang kami terhadap adik-adik `baru' dalam rumah kami...

12 March 2010

KESIAN DUSTY

PAGI itu apabila mama nak pergi kerja, dia terkejut melihat pipi Dusty bengkak memboyot... takut melihatnya. Semalam okey saja... tapi pagi itu dia `monyok' dengan pipi yang bulat dan besar macam ada bola ping pong dalam mulutnya.

Mama belek, akhirnya kami agak dia kena beguk. Kak Long ditugaskan membawa Dusty ke Klinik Dr Shidah di sebelah Pasar Besar Seksyen 6, Shah Alam.

Kata Dr Shidah ada nanah. So Dusty kena masuk wad untuk puasa dan esoknya kena dilakukan pembedahan dengan segera, bimbang nanah itu pecah dan kuman nanah itu masuk dalam darah. Lagi kes naiya.

Setelah satu hari satu malam di klinik barulah mama boleh ambik Dusty. Dia kena pakai serombong di leher! Takut dia kais dengan kuku dan jahitan akan tercabut.

Bila Dusty dibawa balik, semua 12 ekor yang ada di rumah ini tengok Dusty macam `pelik' sebab pakai serombong kat muka dia tu... semua lari! Kesian Dusty! Mereka lupakah... Dusty yang selalu jilat bulu mereka... Dusty yang selalu peluk mereka bila tidur... memang tak patut. Ada yang lari menyorok bawah meja!


* Doktor Shidah dan pembantunya sedang memasang `serombong' untuk Dusty.


Dusty kena pakai serombong itu selama dua minggu. Torehan di pipi tu panjang juga, kena 8 jahitan. Tengoklah gambar ni... kosnya ialah RM250. Alhamdullillah sekarang Dusty sudah sihat walafiat dan sudah macho semula!

15 January 2010

PERKENALAN BARU

Okeylah secara ringkasnya, blog ini telah diaktifkan semula. Maaflah sebelum ini tidak berapa aktif atas sebab-sebab tertentu. (Sebabnya mungkin juga kerana kehilangan Belang, kematian Debab). Kini kucing-kucing kami telah bertambah bagi menggantikan yang telah tiada.

Jom tengok..zasss!!



Ni nama dia Zaza.






Ini pula Awok & laura.
Mereka ini ahli baru dalam keluarga kami.

Kenapa nama mereka Awok, Zaza & Laura?

Sebab masa ini tengah sibuk dengan Aril(AF), Manjalara (auntie Zaza) & drama Indonesia kat TV3)

Macam mana mereka boleh ada kat rumah kami?

Asalnya mereka ni kucing kat rumah kwan Kak Long di flat Seri Sabah, Cheras.

Ada ke patut budak2 flat itu pergi campak Awok dari tingkat 6 ke bawah?!

Sangat tak patut! Sebab itulah Kak Long pergi ambil adik beradik ni bawa duduk kat rumah kami. Sekruangnya ada jugak orang bela. Sampai sekarang dah makin bobok!

Hehe... semoga sihat2 selalulah Awok, Zaza & Laura ya!

02 January 2009

PENGHIBUR HATI LARA







* Aksi Belang dan Tompok Jr bersantai atas peti sejuk.

APABILA kucing-kucing kami sudah besar sekarang, tidak banyak masalah perubatan yang kami tanggung. Jika masa mereka kecil dulu, ada saja masalah kesihatan yang muncul. Antaranya cirit birit, selesema, ada cacing dalam perut dan sebagainya. Malah ada yang demam dan tidak lalu makan.


* Dusty dengan gaya mengada-ngada, main kenyit mata dengan mama ya...

Contohnya apabila kucing berak cirit, itu tandanya dalam perut kucing ada cacing. Segeralah merawatnya, jika tidak cirit birit itu akan membuatkan ia tidak lalu makan dan kurus. Cirit birit juga membuatkan kucing gelisah, tidak tentu arah dan akan menaburkan beraknya merata tempat.

Contohnya jika Dusty cirit, dia akan keluar masuk bekas berak. Kadang-kadang dia rasa sudah membuang di tempat yang betul, tetapi rupanya tersasar keluar dari bekas membuangnya. Ubat cacing boleh dibeli di klinik veterinar. Di jabatan haiwan pun boleh dibeli, harganya lebih murah.


* Abang saya, memeluk Datuk Karim, sebelahnya Amie.

Begitu juga apabila kucing sakit mata, beli ubat sakit mata biasa di farmasi - RM5 satu botol kecil. Ubat sakit mata kucing serupa dengan ubat sakit mata manusia!Selain itu apabila kucing tidak mahu makan, itu tandanya dia demam. Pegang telinganya, kalau sejuk, dia demam. Kucing mudah kena selsema. Berhati-hati apabila memandikannya, jangan sampai air termasuk hidung. Dia akan bersin macam manusia - malahan ada kucing yang resdung juga.


* Abang saya memeluk Kiki - dia ada hati nak membela kucing tapi isterinya tak benarkan.

Kata ustaz, kucing berdoa untuk kita. Doa kucing makbul sebab dia tidak ada dosa. Begitulah kata ustaz saya....

06 December 2008

SELAMATKAN KUCINGKU...


Tiga ekor kucing antara mangsa yang diselamatkan daripada tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Tak dapat bayangkan kalau terjadi pada kucing-kucing kami... huhuhu....

* SEBENARNYA apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa pada pagi 6 Disember lalu amat mengejutkan kami. Apabila mama mendapat gambar ini daripada Bernama Online dan dipapar di sini, lagilah membuat kami terharu, sedih.

Begini ceritanya... Sebenarnya Bella dan Milla memang berasal dari Bukit Antarbangsa itu. Tuan asal mereka yang kami panggil Papa dan Mummy tinggal di Taman Bukit Jaya, bersebelahan dengan Taman Bukit Mewah yang sebahagiannya telah runtuh hingga menimbus 14 buah rumah di situ.

Pagi kejadian, abah cepat-cepat telefon Mummy dan Papa bertanya khabar. Kami okey kata mereka tetapi agak payah meneruskan hidup sebab bekalan api dan air terganggu.

"Macamana kucing-kucing?" (Di rumah itu ada lebih lapan ekor kucing - kaum kerabat Bella dan Milla)

"Malam tadi memang semuanya tak tentu arah, Mummy pun tak tahu kenapa. Rupanya bencana ni yang nak berlaku. Setakat ni kami belum diarah pindah..."

Sehingga entri ini, alhamdulillah Mummy dan Papa okey. Semput papa okey dan lenguh kaki Mummy pun masih boleh bertahan. Selain itu Princess, Beckam dan beberapa ekor yang lain terselamat.

Semalam, mama dan abah peluk Bella dengan Milla sambil berkata, "Abah tengok Milla asyik menung je... kenapa? Janganlah risau, dia orang semua di Bukit Antarabangsa okey, Milla dengan Bella pun selamat kat sini... "

Dan Milla yang suka menjawab itu berbunyi manja, "...meow..."

* Menurut kajian, haiwan dapat merasai apa yang akan berlaku. Seperti kejadian tsunami lalu, menurut penduduk di Kedah ayam itik dan haiwan peliharaan lain berbunyi bising dan tidak tentu arah sebelum berlaku kejadian itu.

Di laut, obor-obor dan gamat juga bertindak naik ke pantai.

05 December 2008

DATIN SAERAH YANG GEBU, YANG HARUM...

WAH-WAH... si gebu ini bukan main berlagak lagi petang ini sebaik sahaja Kak Long bawa dia balik dari Klinik Dr Shidah di Seksyen 6, Shah Alam. Dia punya berlagak... siap dengan bulu-bulu kembang, menyendeng-nyendeng pada paha abah!

Dia baru saja balik dari grooming - huh, terbang duit mama RM95. Tapi kami puas hati, Dr Shidah memang buat grooming dengan baik sekali - siap dengan trim celah-celah jari tangan dan kaki, repair bulu tengkuk, repair bulu kat anu (bontot) tu, potong kuku, buang tahi telinga dan bagi ubat telinga. Ini juga termasuk ubat kutu, ubat bius dan stay overnight semalaman lengkap dengan makan dan minumnya.

Apabila sampai saja ke rumah, dia macam mamai sikit... tercangak-cangak. Maklumlah sehari semalam tidur di klinik. Bila Datin Saerah sampai saja ke rumah, semua yang ada berkerumun. Si Belang terutamanya, tercium-cium muncung, bontot dan ekor si pompuan itu... wangi agaknya... Lagilah dia berlagak, siap diherdiknya si Belang. Kesian si Belang... (Belang tak perlu ke klinik untuk grooming, bila mandi sekejap je dah kering...!)

Kucing-kucing di rumahnya tidak selalu pergi grooming melainkan ada problem. Biasanya kalau bulu dah bergumpal banyak bawah perut/dada/celah kangkang. Kalau yang boleh dibersihkan sendiri kami akan bersihkan sendiri... tapi Datin Saerah ni super garang... mama takut kena cakar. Dulu sekali dah pernah kena, berdarah-darah tangan mama.

Dusty, Datuk Karim, Milla, Manja, Ari dengan Bella biasanya mama grooming sendiri saja. Jimat duit.


Belang merajuk dan tertidur selepas kena sembur dengan Datin Saerah... Belang dah besar panjang sekarang ni... dah pandai cari mak we!

30 November 2008

CIK BELLA HIDUNG BERBULU



Inilah Cik Bella yang kami maksudkan. Hidungnya amatlah hodoh. Sudahlah tak ada batang hidung, ada pulak bulu-bulu di hidungnya. Oleh kerana ada bulu di hidungnya, jadi tumpuan mata kanandan mata kirinya tidak seperti kucing biasa - pandangan matanya agak terlindung.

Jadi jika Cik Bella ingin memandang objek di kiri, dengan badannya sekali akan berpusing. Begitu juga bila hendak memandang objek sebelah kanan. Ada kenan kot masa mak dia mengandungkan dia dulu..

Cik Bella ni problem sikit. Walaupun dia dengan Cik Milla pendatang di rumah ini, tapi Cik Milla lebih cerdik, lebih kenal tempat berak kencing. Bagi Cik Bella ni, dia main buang je... tapi biasanya di tempat yang samalah, di sebelah pintu bilik air. Itu agak problem sikit bagi Kak Lira...

23 October 2008

INILAH CIK MILLA - SETELAH KETIADAAN ISKANDAR




MEMPERKENALKAN seorang ahli baru dalam keluarga kami. Sebenarnya kucing ini pemberian owner kepada Datin Saerah, Datuk Karim dan Dusty. Setelah memeliharanya hampir enam bulan, beliau ambil keputusan menyerahkan CikMilla kepada kami. Waktu itu mereka suami isteri akan berangkat ke Tanah Suci dan bimbang jika Cik Milla tidak serasi diberikan kepada orang lain.

Kami menerima kehadiran Cik Milla dengan tangan terbuka. Sampai sahaja ke tangan kami pemeriksaan rutin terus dijalankan iaitu membawanya ke klinik dan membereskan segala cucuk imunisasi, beri ubat cacing, ubat kutu, membersihkan tahi telinga dan segala sepatutnya. Maklumlah hendak jadi ahli keluarga kami - bimbang Cik Milla membawa jangkitan kepada anak-anak kucing yang sedia ada di rumah ini.

Cik Milla pun sudah dikasi. Sekarang ni makin gebulah dia... melaram saja kerjanya.

Cik Milla ini baik sangat. Manja dan pandai menjawab apabila kita memberi respon kepadanya. Apabila bercakap dengannya, dia mesti menjawab... meoww... suaranya halus saja.. Paling kelakar, kucing ni jenis makan nasi putih dengan lauk ikan goreng. Fuyooo, dah jadi `minah salleh' celup pulak. Mujur bulunya tidak jenis gugur.

Selain Cik Milla, kami juga mendapat ahli baru, namanya Cik Bella.
Nantilah lain kali bercerita pasal kucing unik ni - batang hidungnya kelakar!

17 September 2008

BUNGA CINTA ISKANDAR


- Inilah sepasu bunga ros yang diletakkan di atas batu tempat Iskandar selalu bertenggek kalau kami lepaskan mereka semua di laman.

KAMI ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah berkunjung ke site ini. Sama ada yang memberi komen atau tidak memberi komen, kami tetap menghargainya.

Namun paling dihargai saya tujukan kepada mereka yang telah memberikan kata-kata semangat kepada kami sekeluarga walaupun insidien ni dah hampir tiga bulan berlalu.

Di samping itu kami juga menerima banyak pertanyaan mengenai cara kematian Iskandar. Sebenarnya kami pun tak tahu menahu tentang kematian senyap ini - silent kill. Mengikut laman web yang kami cari di laman pakcik Google, di SPCA di Jalan Ampang pada malam sebelum keputusan itu diambil, kematian cara itu dipanggil - direhatkan secara aman tenteram).

Antaranya mereka bertanya mengenai Silent Kill yang telah dilalui oleh Iskandar:

SOALAN:
- Tidakkan suntikan itu menyakitkan Isk?
- Bagaimana cara matinya - menggelupur atau mengerang?
- Berapa lama masa diambil untuk nyawa Iskandar habis sepenuhnya?
- Berapa bayarannya?
- Di klinik mana kami bersetuju dengan keputusan itu?
- Sejauh mana emosi anak-anak terganggu dengan kematian Iskandar?

JAWAPANNYA:
- Menurut Doktor Noh suntikan itu tidak menyakitkan. Ia seperti bius yang disuntik kepada mereka yang akan menjalani pembedahan. (Tak sakit, sebab bab bius tu mama kata dia pernah lalui masa pembedahan melahirkan ketiga-tiga anak mama dulu). Okey kami setuju.
- Cara matinya tidak menggelupur. Senyap sahaja seperti tidur.
- Lama masa yang diambil tidak sampai lima minit.
- Bayaran RM100. Seingat mamalah... dah tak berapa ingat.
- Lokasi klinik itu di Klinik Veterinar, Seksyen 13, Shah Alam. Berhampiran Stadium Shah Alam.
- Bab emosi ini alhamdulillah anak-anak tidak terganggu. Mereka sudah besar dan faham. Tapi mama dan abah banyak membantu dengan menerangkan baik buruknya jika keputusan silent kill tidak diambil. Lagipun tanpa Iskandar kami masih ada yang lain-lain. Nak yang gebu ada Datin Saerah atau Datuk Karim. Nak yang bulu nipis ada si Debab, Tompok dan Belang.

Tetapi walaupun Iskandar sudah tiada, namanya kerap kami sebut-sebut semula. Contohnya kalau Ari dan Kiki ligat berkejaran, Amie akan kata, "Woi... jangan ganaslah. Nanti terhantuk, jatuh meja, patah tulang belakang macam Iskandar!" Ataupun Kak Long akan kata, "bunga Iskandar tu dah layu... hari ni Kak Lira tak siram bunga ke?"

Demikianlah adanya untuk entri kali ini. Jumpa lagi.


- Ros merah ini makin biak berkembangan. Tak pernah tiada bunga, wangi pula tu... letaknya betul-betul di pintu masuk, sebelah kanan laman.

10 September 2008

ISKANDAR SUDAH TIADA...


Hari-hari bersama Iskandar kini jadi kenangan...

MEMANG sedih... sejak kematian Iskandar pada 25 Mei 2008 lalu, kami seperti merajuk dengan blog ini. Apalagi mama... sebabnya selain Dusty, Iskandar adalah kesayangan mama. Ah... kenangan hari-hari terakhir Iskandar bersama kami memang sukar untuk dilupakan.

Kenapa Iskandar mati? Puncanya ialah kerana slip disc. Hasil x ray di klinik menunjukkan tulang belakangnya berganjak 1 cm daripada rangkaian tulang belakang, berhampiran tengkuk. Puas memikirkan... apakah puncanya? Iskanda baik. Dia tidak seperti Manja yang ligat melompat ke sana sini. Iskandar tidak aktif... jika tidak bermain-main dengan adik beradik lain, dia suka tidur di bawah pintu dapur, berhampiran peti sejuk. Jadi macamana boleh berlaku? Entahlah.


Iskandar ketika sakit, terbaring atas meja komputer abah.

Mulanya Iskandar tidak boleh berjalan. Kedua-dua belah kaki hadapan kanan dan kaki belakang kanannya tidak boleh berdiri. Jadi dia banyak berbaring merekot di bahagian belah kiri. Dua hari dia begitu, mama membawanya ke klinik di Seksyen 13. Dia kena bermalam di klinik dan berpuasa sebab esoknya doktor hendak melakukan x ray dan ambil ujian darah. Petangnya apabila kami pergi melawatnya di klinik, dia mengesot-esot hendak mendapatkan kami... saat itu air mata mama dah mula menitik... muka abah pun dah mula sedih.

Doktor explain... Iskandar memang kena terapi yang heavy, kalau boleh kena urut, gerakkan kaki belakang dan kaki depan kanan itu sekerapnya. Doktor kata harapan untuk pulih sepenuhnya memang sukar, tapi kata doktor takdir Allah mana tahu... Doktor benar bawa balik dengan bekalan ubat untuk sebulan. Hampir lima jenis ubat pil. Kosnya lebih kurang RM250.00.


Amie mendukung Iskandar ketika visit kali kedua di klinik.

Setiap hari selama seminggu mama menyuapkan dia makan terlebih dahulu sebelum mama pergi kerja, tolong atur kencing beraknya - dudukkan dia di tempat pasirnya dan dia membuang. Tapi tak banyak, dia sembelit pula. Sekali lagi ke klinik dan doktor bagi ubat sembelit, masuk dalam duburnya. Legalah untuk dua hari. Namun tiga hari selepas itu dia langsung tak membuang dan mama sudah mengesan ada bonggol sebesar bola ping pong dalam perut Iskandar apabila mengusap-usapnya sambil tengok televisyen. Oh.... apa pula tu?

Kami bawanya ke doktor lagi dan akhirnya saat pedih itu tiba apabila doktor kata buah pinggangnya sudah tidak berfungsi lagi. Buah pinggang itu sudah membengkak diserang bakteria (sebab dia dah lama tak membuang - segala makanan dah jadi kuman, menyerang fungsi tubuhnya). Kenapa dia tak boleh membuang? Sebab sakit tulang belakang itu membatasnya untuk meneran... Dan doktor kata Iskandar sudah tidak boleh diselamatkan lagi...

Kami minta izin bawa pulang untuk decide anak beranak malam itu juga... mama ambil jalan singkat, mama tak mahu Iskandar terus menderita. Walaupun dia boleh dipegang, dikelek ke mana-mana dalam rumah, atau ligat tangan kirinya bila diajak bermain dengan hujung tangan kita, tapi kita tahu dia menderita dalaman... bengkak besar bola ping pong itu semakin besar. So keputusan berat terpaksa kami ambil... Tapi abah masih berat hati, dia nak terus bela Iskandar walaupun dah sah Iskandar tak boleh berdiri lagi... Anas pun sama, tak setuju dengan mama.

Tengah malam itu, abah dan yang lain pun setuju cadangan mama. Esoknya mama suruh Kak Long bawa Iskandar ke klink dan terus setuju dengan cadangan doktor - silent kill. Mama tak sanggup tengok... Kata Kak Long, Iskandar macam pasrah saja. Doktor inject di kaki bahagian kiri hadapan dan tak sampai lima minit Iskandar sudah tiada....

Balik dari klinik, Kak Long dan Amie terus kebumikan dia di tepi lebuh raya berdekatan rumah kami - Lebih Raya Shah Alam - Klang. Pukul 2 petang, 25 Mei 2008. Sekarang ini, di tempat Iskandar suka bertenggek kalau kami lepaskan anak-anak angkat kami di garden, mama letak sepasu bunga ros warna merah sebagai tanda ingatan terhadap Iskandar... tiap kali menyiram atau membaja bunga tu, kami teringatkan Iskandar yang telah tiada...


Lihatlah wajah ceria Iskandar ketika dia sihat - bola matanya jernih.

13 April 2008

MEREKA SEMAKIN NAKAL


Gaya macho si Debab.


Ini Tompok Jr


Belang dengan Tompok Jr selalu tidur berpelukan.


Ini dia gaya pada suatu tengahari selepas hidangan makarel.

22 March 2008

SAERAH RATU HATI ABAH


Si pompuan ni tengah bersantai giler... geram mama!

DUA HERO, SATU HEROIN


Hey... habislah bunga mama tu.




Muka poyo... baru bangun tidur.


Debab, Belang dan Tompok Jr.

LEPAK TEMPAT BEST...


Ha... tengok tu, nak tempat panas. Suka tidur bawah ketiak...!




Dah dialihkan pun datang balik menyelit.

ANAK-ANAK TOMPOK KE KLINIK

Nampaknya ahli keluarga semakin bertambah. Anak-anak Tompok yang bertiga itupun kena mendapat rawatan yang serupa seperti kucing=kucing lain.

Antaranya inject untuk imunisasi, bersihkan tahi mata, korek tahi telinga dan hidung. Tidak pula bising, senyap saja bila doktor membelek tubuh badan mereka. Jantina mereka pun dah jelas - dua jantan, satu betina.


Doktor Intan di klinik vaterinar Seksyen 13 sedang membelek kutu Debab.


Korek juga telinga dan hidung...


Ubat kutu yang jenis spray untuk anak-anak kucing - tidak berapa kuat dosnya.

Umur mereka bertiga ketika ini lingkungan dua minggu. Masa masih belum bercerai susu inilah yang kena dijaga sangat. Waktu inilah yang perlukan perhatian lebih kerana imunisasi badan mereka belum begitu kuat - mudah selesema dan mata berair. Mujurlah tidak ada gangguan pemmbuangan najis, teratur saja macam diajar-ajar; membuang sendiri dalam bekas pasirnya.

20 January 2008

SEDAP KE AIR YANG MAMA BUAT TU ARI..?

Suatu petang di meja makan... si Ari telah mencuba minuman baru... teh O ais yang Mama buat. Manakala si Manja pada awalnya hanya melihat saja...

"Sedap ke Ari teh O ais tu... minta sikit." Mungkin itu yang cuba dibisikkan oleh si Manja setelah melihat Ari begitu bernafsu menyedut teh O ais yang memang ada di atas meja..

Sedap... kalau tidak tak kan aku sedut benda ni, siap ada limau lagi." Kata Ari. Kata Manja, "minta la sikit..."

Kerana sifat si adik, Ari mengalah dan memberi peluang kepada Manja pula merasa sedapnya teh O ais limau yang mama buat tu. Ah.. apa lagi Si Manja pun tak melepas peluanglah.

Bila Manja dah dapat, Si Ari hanya memandang menunggu giliran. Manja terus menyedut menikmati rasa sedap teh O ais limau yang Mama buatkan untuk Abah...

Ari Vs Comel

ADA KE TAK NAMA AKU DALAM SENARAI CALON PILIHANRAYA TAHUN NI......

Datuk Karim termenung pada suatu malam...

Dia tertanya-tanya pasal pilihanraya umum yang bakal berlangsung

Apa lagi yang belum Datuk Karim buat di kawasan pilihanrayanya?

Ish... janganlah gambar aksi terlampau ini sampai ke tangan pengundi... harus juga Datuk Karim kena letak jawatan.

Oh... jangan pulak sampai hilang wang pertaruhan... malu!

Bukan saja kerusi pilihanraya tu panas... rupa-rupanya kerusi CEO ini pun panas. Anytime Datuk Karim kena turun dari kerusi ini bila Abah nak duduk buat kerja. Huwaa....!

p/s: Ah kena turun dari kerusi ni pun tak apa... kerusi ni pun dah koyak...!

MARI KITA TENGOK, SIAPA YANG KENA...