DUNIA KUCING-KUCING KAMI

Laman web ini dicipta untuk menyatakan rasa sayang kami terhadap adik-adik `baru' dalam rumah kami...

17 September 2008

BUNGA CINTA ISKANDAR


- Inilah sepasu bunga ros yang diletakkan di atas batu tempat Iskandar selalu bertenggek kalau kami lepaskan mereka semua di laman.

KAMI ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah berkunjung ke site ini. Sama ada yang memberi komen atau tidak memberi komen, kami tetap menghargainya.

Namun paling dihargai saya tujukan kepada mereka yang telah memberikan kata-kata semangat kepada kami sekeluarga walaupun insidien ni dah hampir tiga bulan berlalu.

Di samping itu kami juga menerima banyak pertanyaan mengenai cara kematian Iskandar. Sebenarnya kami pun tak tahu menahu tentang kematian senyap ini - silent kill. Mengikut laman web yang kami cari di laman pakcik Google, di SPCA di Jalan Ampang pada malam sebelum keputusan itu diambil, kematian cara itu dipanggil - direhatkan secara aman tenteram).

Antaranya mereka bertanya mengenai Silent Kill yang telah dilalui oleh Iskandar:

SOALAN:
- Tidakkan suntikan itu menyakitkan Isk?
- Bagaimana cara matinya - menggelupur atau mengerang?
- Berapa lama masa diambil untuk nyawa Iskandar habis sepenuhnya?
- Berapa bayarannya?
- Di klinik mana kami bersetuju dengan keputusan itu?
- Sejauh mana emosi anak-anak terganggu dengan kematian Iskandar?

JAWAPANNYA:
- Menurut Doktor Noh suntikan itu tidak menyakitkan. Ia seperti bius yang disuntik kepada mereka yang akan menjalani pembedahan. (Tak sakit, sebab bab bius tu mama kata dia pernah lalui masa pembedahan melahirkan ketiga-tiga anak mama dulu). Okey kami setuju.
- Cara matinya tidak menggelupur. Senyap sahaja seperti tidur.
- Lama masa yang diambil tidak sampai lima minit.
- Bayaran RM100. Seingat mamalah... dah tak berapa ingat.
- Lokasi klinik itu di Klinik Veterinar, Seksyen 13, Shah Alam. Berhampiran Stadium Shah Alam.
- Bab emosi ini alhamdulillah anak-anak tidak terganggu. Mereka sudah besar dan faham. Tapi mama dan abah banyak membantu dengan menerangkan baik buruknya jika keputusan silent kill tidak diambil. Lagipun tanpa Iskandar kami masih ada yang lain-lain. Nak yang gebu ada Datin Saerah atau Datuk Karim. Nak yang bulu nipis ada si Debab, Tompok dan Belang.

Tetapi walaupun Iskandar sudah tiada, namanya kerap kami sebut-sebut semula. Contohnya kalau Ari dan Kiki ligat berkejaran, Amie akan kata, "Woi... jangan ganaslah. Nanti terhantuk, jatuh meja, patah tulang belakang macam Iskandar!" Ataupun Kak Long akan kata, "bunga Iskandar tu dah layu... hari ni Kak Lira tak siram bunga ke?"

Demikianlah adanya untuk entri kali ini. Jumpa lagi.


- Ros merah ini makin biak berkembangan. Tak pernah tiada bunga, wangi pula tu... letaknya betul-betul di pintu masuk, sebelah kanan laman.

10 September 2008

ISKANDAR SUDAH TIADA...


Hari-hari bersama Iskandar kini jadi kenangan...

MEMANG sedih... sejak kematian Iskandar pada 25 Mei 2008 lalu, kami seperti merajuk dengan blog ini. Apalagi mama... sebabnya selain Dusty, Iskandar adalah kesayangan mama. Ah... kenangan hari-hari terakhir Iskandar bersama kami memang sukar untuk dilupakan.

Kenapa Iskandar mati? Puncanya ialah kerana slip disc. Hasil x ray di klinik menunjukkan tulang belakangnya berganjak 1 cm daripada rangkaian tulang belakang, berhampiran tengkuk. Puas memikirkan... apakah puncanya? Iskanda baik. Dia tidak seperti Manja yang ligat melompat ke sana sini. Iskandar tidak aktif... jika tidak bermain-main dengan adik beradik lain, dia suka tidur di bawah pintu dapur, berhampiran peti sejuk. Jadi macamana boleh berlaku? Entahlah.


Iskandar ketika sakit, terbaring atas meja komputer abah.

Mulanya Iskandar tidak boleh berjalan. Kedua-dua belah kaki hadapan kanan dan kaki belakang kanannya tidak boleh berdiri. Jadi dia banyak berbaring merekot di bahagian belah kiri. Dua hari dia begitu, mama membawanya ke klinik di Seksyen 13. Dia kena bermalam di klinik dan berpuasa sebab esoknya doktor hendak melakukan x ray dan ambil ujian darah. Petangnya apabila kami pergi melawatnya di klinik, dia mengesot-esot hendak mendapatkan kami... saat itu air mata mama dah mula menitik... muka abah pun dah mula sedih.

Doktor explain... Iskandar memang kena terapi yang heavy, kalau boleh kena urut, gerakkan kaki belakang dan kaki depan kanan itu sekerapnya. Doktor kata harapan untuk pulih sepenuhnya memang sukar, tapi kata doktor takdir Allah mana tahu... Doktor benar bawa balik dengan bekalan ubat untuk sebulan. Hampir lima jenis ubat pil. Kosnya lebih kurang RM250.00.


Amie mendukung Iskandar ketika visit kali kedua di klinik.

Setiap hari selama seminggu mama menyuapkan dia makan terlebih dahulu sebelum mama pergi kerja, tolong atur kencing beraknya - dudukkan dia di tempat pasirnya dan dia membuang. Tapi tak banyak, dia sembelit pula. Sekali lagi ke klinik dan doktor bagi ubat sembelit, masuk dalam duburnya. Legalah untuk dua hari. Namun tiga hari selepas itu dia langsung tak membuang dan mama sudah mengesan ada bonggol sebesar bola ping pong dalam perut Iskandar apabila mengusap-usapnya sambil tengok televisyen. Oh.... apa pula tu?

Kami bawanya ke doktor lagi dan akhirnya saat pedih itu tiba apabila doktor kata buah pinggangnya sudah tidak berfungsi lagi. Buah pinggang itu sudah membengkak diserang bakteria (sebab dia dah lama tak membuang - segala makanan dah jadi kuman, menyerang fungsi tubuhnya). Kenapa dia tak boleh membuang? Sebab sakit tulang belakang itu membatasnya untuk meneran... Dan doktor kata Iskandar sudah tidak boleh diselamatkan lagi...

Kami minta izin bawa pulang untuk decide anak beranak malam itu juga... mama ambil jalan singkat, mama tak mahu Iskandar terus menderita. Walaupun dia boleh dipegang, dikelek ke mana-mana dalam rumah, atau ligat tangan kirinya bila diajak bermain dengan hujung tangan kita, tapi kita tahu dia menderita dalaman... bengkak besar bola ping pong itu semakin besar. So keputusan berat terpaksa kami ambil... Tapi abah masih berat hati, dia nak terus bela Iskandar walaupun dah sah Iskandar tak boleh berdiri lagi... Anas pun sama, tak setuju dengan mama.

Tengah malam itu, abah dan yang lain pun setuju cadangan mama. Esoknya mama suruh Kak Long bawa Iskandar ke klink dan terus setuju dengan cadangan doktor - silent kill. Mama tak sanggup tengok... Kata Kak Long, Iskandar macam pasrah saja. Doktor inject di kaki bahagian kiri hadapan dan tak sampai lima minit Iskandar sudah tiada....

Balik dari klinik, Kak Long dan Amie terus kebumikan dia di tepi lebuh raya berdekatan rumah kami - Lebih Raya Shah Alam - Klang. Pukul 2 petang, 25 Mei 2008. Sekarang ini, di tempat Iskandar suka bertenggek kalau kami lepaskan anak-anak angkat kami di garden, mama letak sepasu bunga ros warna merah sebagai tanda ingatan terhadap Iskandar... tiap kali menyiram atau membaja bunga tu, kami teringatkan Iskandar yang telah tiada...


Lihatlah wajah ceria Iskandar ketika dia sihat - bola matanya jernih.