DUNIA KUCING-KUCING KAMI

Laman web ini dicipta untuk menyatakan rasa sayang kami terhadap adik-adik `baru' dalam rumah kami...

06 December 2008

SELAMATKAN KUCINGKU...


Tiga ekor kucing antara mangsa yang diselamatkan daripada tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Tak dapat bayangkan kalau terjadi pada kucing-kucing kami... huhuhu....

* SEBENARNYA apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa pada pagi 6 Disember lalu amat mengejutkan kami. Apabila mama mendapat gambar ini daripada Bernama Online dan dipapar di sini, lagilah membuat kami terharu, sedih.

Begini ceritanya... Sebenarnya Bella dan Milla memang berasal dari Bukit Antarbangsa itu. Tuan asal mereka yang kami panggil Papa dan Mummy tinggal di Taman Bukit Jaya, bersebelahan dengan Taman Bukit Mewah yang sebahagiannya telah runtuh hingga menimbus 14 buah rumah di situ.

Pagi kejadian, abah cepat-cepat telefon Mummy dan Papa bertanya khabar. Kami okey kata mereka tetapi agak payah meneruskan hidup sebab bekalan api dan air terganggu.

"Macamana kucing-kucing?" (Di rumah itu ada lebih lapan ekor kucing - kaum kerabat Bella dan Milla)

"Malam tadi memang semuanya tak tentu arah, Mummy pun tak tahu kenapa. Rupanya bencana ni yang nak berlaku. Setakat ni kami belum diarah pindah..."

Sehingga entri ini, alhamdulillah Mummy dan Papa okey. Semput papa okey dan lenguh kaki Mummy pun masih boleh bertahan. Selain itu Princess, Beckam dan beberapa ekor yang lain terselamat.

Semalam, mama dan abah peluk Bella dengan Milla sambil berkata, "Abah tengok Milla asyik menung je... kenapa? Janganlah risau, dia orang semua di Bukit Antarabangsa okey, Milla dengan Bella pun selamat kat sini... "

Dan Milla yang suka menjawab itu berbunyi manja, "...meow..."

* Menurut kajian, haiwan dapat merasai apa yang akan berlaku. Seperti kejadian tsunami lalu, menurut penduduk di Kedah ayam itik dan haiwan peliharaan lain berbunyi bising dan tidak tentu arah sebelum berlaku kejadian itu.

Di laut, obor-obor dan gamat juga bertindak naik ke pantai.